

Konsert "The Real Cromok" melabuhkan tirai dengan gemilang, menghadirkan sebuah konsert epik untuk perjalanan panjang kumpulan thrash metal ikonik ini. Makna "The Real" terbentang di hadapan mata apabila setiap individu yang pernah menjadi sebahagian daripada Cromok bersatu di atas satu pentas—antaranya Hillary Ang, yang menyumbang kepada tiga album penting kumpulan itu, serta Man Kidal, yang memahat sejarah melalui solo gitar beremosi dalam lagu "Misery". Tidak ketinggalan, kehadiran Mat Puck, gitaris asal Cromok, yang menambah lagi sentuhan istimewa pada malam itu.
Konsert bermula tepat pada pukul 8.30 malam, membuka tirai dengan rentak padu lagu-lagu seperti "Memories", "Final Ticking", dan "Obsessed". Setiap riff dan dentuman menghidupkan semula era kegemilangan album klasik seperti "Forever In Time" dan "Yours Truly", dua karya ikonik yang menjulang nama Cromok sebagai gergasi muzik keras Malaysia, mencatat jualan melebihi ratusan ribu unit. Dari penggemar bawah tanah hingga menjadi legenda, perjalanan Cromok tidak pernah pudar dalam ingatan peminat mereka.
Lagu-lagu seperti "Unicorn" dan "Stranger" terus menghidupkan malam penuh nostalgia. Namun, "Another You" membawa suasana berubah menjadi lebih hening—segmen tribute kepada anggota asal Cromok yang telah pergi, Arwah Kharuddin Muhammad (Din) dan Arwah Tarmizi Mokhtar (Miji). Al-Fatihah dihadiahkan kepada mereka, mengingatkan penonton akan legasi mereka yang tidak ternilai.
Lagu instrumental terbaru, "Fallen Heroes", menjadi penghubung kepada babak penuh emosi apabila projektor menayangkan gambar-gambar lama kumpulan Cromok. Saat itu menjadi lebih mendalam apabila anak-anak ahli kumpulan iaitu Arwah Din dan Arwah Mini, tampil berkongsi kisah tentang minat muzik ayah mereka. Hubungan antara muzik dan keluarga dirungkai dengan penuh kejujuran, menjadikan momen tersebut tidak hanya sekadar hiburan, tetapi juga refleksi yang menyentuh jiwa.
"Ulek Mayang" tampil sebagai bukti keunikan Cromok dalam menyulam unsur budaya tempatan ke dalam muzik keras mereka. Mat Puck, gitaris terawal Cromok yang diterbangkan khas dari Australia, muncul bersama untuk memeriahkan konsert The Real Cromok ini. Namun, penanda aras sebenar Cromok tetap terletak pada karisma Sam, vokalis utama mereka. Dengan tenaga luar biasa, Sam menyampaikan setiap lirik dengan semangat yang tidak luntur walaupun usia kian meningkat. Vokal beliau adalah trademark asli untuk Cromok . Cromok dan Mat Puck menamatkan bersama lagu "LaCrosse".
Suka atau tidak, kemunculan Man Kidal, dengan lagu "Misery". Walaupun berasal dari latar belakang rock, Man Kidal begitu 'sporting' untuk satu pentas bersama dengan Cromok. Dan seperti yang kita semua tahu Man Kidal telah menyumbang solo beliau ketika rakaman lagu ini. Bersama Man Kidal, Cromok menamtkan dengan lagu-lagu klasik iaitu "Seedling" dan "Farewell". Persembahan hebat, membuktikan fleksibiliti muziknya dengan penuh gaya, bergantian solo bersama Karl Cromok, mencipta momen yang sukar dilupakan.