
Hello Bam Bam bukan sekadar drama, tetapi sebuah inisiatif seni untuk membuka mata masyarakat terhadap isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak, dan kehidupan insan terpinggir.
Drama ini adalah satu inisiatif dari penerbit Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group dalam menyediakan sebuah konten drama inspirasi yang penuh dengan mesej positif bagi tontonan masyarakat, terutamanya remaja yang berdepan dengan tekanan hidup, buli, bunuh diri, identiti krisis dan kezaliman sosial. Sebagai projek CSR, Hello Bam Bam menekankan mesej bahawa…
“ Hidup Itu Struggle.. Tapi Kami Tak Give Up!”
Penonton juga berpeluang memilih pengakhiran cerita ini, sama ada inginkan “Gembira” atau “Sedih”. (Interactive Ending)
Drama ini juga memberi ruang kepada pempengaruh, artis tempatan, penaja dan rakan strategik untuk bersama-sama menyuarakan isu kesedaran mental melalui medium digital iaitu Tik Tok yang dekat dengan masyarakat hari ini. Projek ini disokong oleh Tourism Johor dan beberapa penaja seperti Win Win Food Industries (JB), Presgo Gateways (JB), Tiger Base Camp (Johor) , Berjaya Waterfront Hotel (JB). Majalah Santai Travel dan Restoran KOPIHUT.
Selain itu, drama ini juga mengangkat seniman lagen 90’an iaiti Ady Wow dalam menyumbangkan sebuah lagu baru bertajuk “LUAHAN” sebagai OST Drama Hello Bam Bam.
SINOPSIS
HELLO BAM BAM – Sebuah Drama TikTok Tentang Harapan, Trauma, dan Kasih Sayang Yang Tidak Pernah Mati.
KUALA LUMPUR – Hello Bam Bam hadir sebagai sebuah drama TikTok yang sarat emosi, mengangkat kisah tentang tiga jiwa yang terpinggir, bertarung dengan trauma silam, depresi, serta kekejaman masyarakat, namun memilih untuk melawan dengan kasih sayang.
Cerita ini mengisahkan Awin (Shafie Naswip), seorang khunsa yang sensitif dan introvert, yang sejak kecil hidup dalam penderitaan. Dia melarikan diri dari asrama anak yatim akibat dera dan buli yang meninggalkan luka batin mendalam. Hidupnya diselamatkan oleh Deddy (Diva AA), seorang pendandan rambut flamboyan yang memberinya sinar harapan untuk bermula semula.
Takdir kemudian menemukan Awin dengan Jojo (Hello Angah), seorang tomboy lantang yang menyembunyikan kesedihan di balik gelak tawa. Jojo, yang pernah hampir menamatkan riwayat hidupnya sendiri kerana putus harapan, diselamatkan oleh Kak Sha (Sharina Richie) dan Awin. Sejak itu, Jojo dan Awin menjadi sahabat dan membantu satu sama lain.
Namun hidup mereka sekali lagi diuji apabila bertemu Bam Bam (Bang Aji), seorang kanak-kanak terbiar yang hampir menjadi mangsa sindiket minta sedekah oleh ayahnya sendiri (Sofi Jikan). Dalam keadaan serba kekurangan, Awin dan Jojo memilih untuk menjadi “ibu” dan “ayah” kepada Bam Bam – satu keputusan yang mengubah seluruh perjalanan hidup mereka.
Menghadapi hidup miskin bandar kais pagi makan pagi, mereka berusaha keras memberi kehidupan lebih baik buat Bam Bam. Awin bekerja sebagai tukang masak sementara Jojo mencari rezeki sebagai mekanik motor. Namun, trauma silam, tekanan hidup, serta ancaman dari orang sekeliling terus menghantui.
Black (Kodi Rasheed), majikan lama Jojo yang menyimpan dendam kerana cintanya ditolak, menjadi musuh utama yang cuba memusnahkan kebahagiaan mereka. Dari sabotaj, fitnah hingga ugutan untuk melaporkan Bam Bam sebagai “anak culik,” hidup Awin dan Jojo menjadi semakin terhimpit. Di samping itu, mereka turut berdepan dengan kezaliman Cik Wawa (Maria Farida), tuan rumah kaya yang tamak dan tidak berperikemanusiaan.