
Setelah lebih tiga dekad sejak penubuhannya, UK’s akan mengadakan sebuah showcase istimewa pada 26 Oktober ini, khusus untuk peminat setia yang telah lama mendukung perjalanan mereka. Showcase ini bertujuan mendekatkan lagi kumpulan yang telah menghasilkan banyak lagu cinta yang mengusik perasaan, dengan mereka yang menghargai karya-karya tersebut.
Kumpulan UK’s, yang kini menjadi salah satu legenda muzik tempatan, telah menyentuh hati ramai melalui lagu-lagu mereka yang menjadi soundtrack dalam hidup sebahagian besar pendengar. Justeru, bagi membalas sokongan serta kesetiaan peminat, UK’s akan menganjurkan satu malam istimewa yang diberi nama UK’s: Up Close and Personal pada 26 Oktober nanti.
Vokalis UK’s, Amir, menjelaskan bahawa persembahan yang berkonsepkan showcase dan makan malam ini, yang eksklusif untuk 284 tempat duduk, merupakan tanda penghargaan kepada peminat yang telah menjadi tulang belakang kekuatan UK’s selama ini.
“Kesetiaan peminat selama lebih tiga dekad benar-benar menyentuh hati kami. Sebagai tanda penghargaan, kami mempersembahkan UK’s: Up Close and Personal buat julung kalinya. Ia akan menjadi sebuah malam penuh keintiman dengan beberapa kejutan manis yang telah kami rancang, termasuk memperdengarkan single terbaru UK’s bertajuk Tak Sangka, hasil ciptaan Saari Amri,” kata Amir.
Showcase ini dianjurkan oleh Amir UK’s Entertainment dan Laga Emas, dengan kerjasama Hotel Ideas, Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan, manakala Mewah Event Management bertindak sebagai rakan strategik. Malam istimewa ini juga akan menampilkan Azmani sebagai artis undangan.
Pembelian tiket terhad kini dibuka untuk Early Bird pada harga RM250 sebelum penjualan sepenuhnya bermula dengan harga tiket RM299 (Zon C), RM350 (Zon B), dan RM450 (Zon A). Tiket boleh dibeli melalui tickets.uks.my.
Bagi Premium Ticket berharga RM8,000 semeja untuk lapan orang, pakej ini termasuk penginapan percuma satu malam beserta sarapan di Hotel Ideas, serta beg cenderahati yang berisi beg, mug, dan baju T. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Nizal di 01170025255.
Amir turut mengakui bahawa UK’s tidak akan mampu bertahan selama ini tanpa sokongan padu dari peminat.
“Hati kami tersentuh apabila ramai peminat mengakui bagaimana cerita cinta dan suka duka perjalanan hidup mereka tersimpan di dalam banyak karya UK’s. Ada yang menganggap lagu-lagu UK’s ini sebagai peribadi, seolah-olah ditulis khusus untuk mereka, ibarat diari hidup mereka,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 1989 sebagai Ukay oleh Saari, kegagalan album sulung Tinggal Irama menyaksikan kemasukan Amir pada tahun 1991, yang kemudian merakam enam daripada tujuh album UK’s, termasuk Bisa Berbisa pada tahun 1994 yang meraih penjualan tertinggi ketika itu dengan lebih 350,000 unit.
Selain Amir, UK’s kini turut dianggotai oleh Denil sebagai pemain gitar, Olley (bass), Amirul (dram), dan Mus Satira (gitar).
Amir turut menyatakan bahawa senarai lagu yang dipilih untuk persembahan malam itu adalah antara lebih 15 judul yang termasuk lagu-lagu klasik seperti Kekasih di Menara, Siapa Rampas Cintamu, Di Luar Kemampuanku, Tergamak Kau, dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, serta beberapa lagu lain yang jarang dinyanyikan namun tetap menjadi siulan.
“Sepanjang persembahan yang hampir dua jam itu, kami juga akan mengadakan sesi beramah mesra dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti pakej penginapan di Villa Molek, Langkawi. Kehadiran Azmani juga diharapkan akan memeriahkan lagi malam tersebut,” tambah Amir.
Mengambil kira situasi semasa yang melanda penduduk Gaza, Amir menjelaskan bahawa UK’s ingin menggunakan kesempatan pada malam itu untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan saudara kita di Palestin.
“Sebagai tanda solidariti, sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Palestin. Ayuh! Mari kita jadikan malam UK’s: Up Close and Personal sebagai momen terindah dan penuh makna dalam perjalanan kita,” kata Amir.