p>

Cromok mencipta kejutan sempena ulang tahun ke-36 penubuhannya dengan sebuah persembahan ikonik yang menampilkan pemuzik Hillary Ang dan Man Keedal dalam konsert bertajuk "The Real Cromok."
Dianjurkan oleh Pointlink Ventures, konsert ini dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember akan datang. Ini merupakan penampilan pertama band thrash heavy metal ini bersama dua gitaris tersohor tersebut.
Karl, salah seorang anggota terawal Cromok, menyatakan bahawa ia akan menjadi malam bersejarah, bukan hanya untuk Cromok tetapi juga bagi para peminat yang setia mengikuti perjalanan band ini, yang mencetuskan fenomena seawal album sulung mereka, "Image of Purity," pada tahun 1991 dengan karya klasik seperti "Journey" dan "Metallurgical."
Menurut Karl, persembahan ini sememangnya telah lama dinantikan, terutama sekali dengan kemunculan semula Hillary, yang menggantikannya pada tahun 1999 dan sempat merakamkan empat album studio bersama Cromok, bermula dengan album "Mean, Meaner, Meanest."
“Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya akan mengubati kerinduan peminat, apatah lagi dengan gandingan ikonik julung kali antara Karl dan Hillary,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
“Juga gandingan Karl-Man Keedal, buat pertama kalinya, yang bakal menghadiahkan momen bersejarah memandangkan Man Keedal langsung tidak pernah bermain secara live dengan Cromok sejak merakamkan gitar solo untuk lagu Misery bagi album 1993, "Forever in Time" ”
Selain Karl, atau nama sebenarnya Khairul Anuar Shariff, perjuangan band yang juga peneraju muzik fusion yang menggabungkan muzik tradisional dan heavy metal sehingga tercipta istilah "thrashditional" ini turut diteruskan bersama Shamsudin Ali atau Sam, yang bermain bass.
Sam merupakan salah seorang pengasas bersama pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji, yang meninggal dunia pada Mac lalu. Seorang lagi pengasas, Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din, telah meninggal dunia pada tahun 1997 setelah terlebih dahulu meninggalkan Cromok.
Konsert tersebut akan diiringi oleh Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar), dan Archer (keyboard). Dengan sokongan MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert ini turut mendapat penajaan daripada Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing, dan Gama Rock House, bersama Mewah Event Management, Karl Legacy, dan MyArteez sebagai rakan strategik.
Karl menyifatkan konsert ini sebagai penuh kejutan, dengan berkata, “Gandingan rare The Real Cromok ini amat signifikan bagi perjalanan Cromok yang ditubuhkan di Australia ketika kami semua masih menuntut di University of Wollongong, New South Wales. Jika ingin melihat Cromok sebenar, inilah dia.
“Cuba bayangkan empat pemain gitar di atas satu pentas, bermain serentak. Ini bukan konsert biasa tetapi dipenuhi kejutan. Apa sahaja boleh berlaku, namun percayalah, The Real Cromok akan melakar sejarahnya yang tersendiri.”