Ulangtahun 36 Tahun Cromok: Legenda Thrash Metal Malaysia Terus Menginspirasi

06 Nov 2024 00:46

Cromok

Kumpulan Thrash Metal terkemuka Malaysia, Cromok, bakal meraikan ulang tahun ke-36 mereka dengan sebuah konsert ulangtahun bertajuk The Real Cromok di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember ini. Dalam temu bual eksklusif bersama Karl, kami menyelami kisah di sebalik persiapan konsert ini, cabaran yang dihadapi, dan visi mereka untuk masa depan.
 
"Okey, persediaan kami untuk konsert The Real Cromok kali ini... semalam kami baru sahaja selesai sesi bersama Hillary. Kami pastikan siapa main apa dan sebagainya. Sesi seterusnya nanti, kami akan adakan dengan Man Kidal. Studio kami ni memang digunakan untuk jamming sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu. Kalau konsert biasa, kami biasanya berlatih kira-kira 20 kali, setiap sesi sekitar empat jam, jadi lebih kurang 80 jam semua sekali.
 
"Tetapi kali ini, disebabkan ada elemen Man Kidal, Hillary dan sebagainya, kami mengambil masa yang lebih panjang. Saya rasa mungkin 29, 30, atau hampir 40 sesi latihan. Jadi, kami benar-benar memberikan tumpuan besar terhadap persiapan, baik secara individu mahupun sebagai satu kumpulan. Kami mahu peminat yang membayar mahal untuk tiket di Zepp itu mendapat sesuatu yang terbaik.
 
"Idea kami ialah mencabar diri sendiri supaya konsert kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Sebagai contoh, konsert Forever in Time Anniversary 30 tahun lepas mendapat banyak pujian, tetapi kali ini, bagaimana kita boleh menjadikannya lebih baik? Sebab itu kami melibatkan pemuzik-pemuzik idola kami seperti Hillary dan Man Kidal. Kami juga menggunakan peralatan baru, seperti gajet kamera dan sebagainya. Malah, kali ini saya akan menggunakan gitar baru, dan kalau sempat, Shah juga akan gunakan gitar baru. Semua ini memerlukan masa dan eksperimen."
 
Karl turut berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang persediaan:
 
"Bagi saya, cabaran terbesar adalah menghafal susunan lagu-lagu Cromok. Lagu-lagu Cromok ni bukan seperti lagu komersial biasa yang ada intro, verse, bridge, chorus, dan ulang balik verse. Cromok punya susunan lagu unik – tiada pengulangan yang biasa, dan bar-counting-nya pula ada yang empat kali, tiga kali, lima kali, malah ada yang tiga setengah atau empat setengah. Jadi, untuk menghafal keseluruhan set 20 lebih lagu, itu satu cabaran besar.
 
"Tambahan pula, tempo Cromok laju, dan banyak perubahan dalam bahagian lagu. Walaupun ada nota, kadang-kadang bila kita tengok nota, bahagian lagu dah habis dan bertukar. Jadi, memang perlu hafal. Sebab itulah latihan sangat ditekankan, bukan sahaja sebagai individu, tetapi juga sebagai kumpulan."
 
Karl juga mendedahkan bahawa konsert ini akan berlangsung selama kira-kira dua jam, dengan 22 hingga 24 lagu. Konsert kali ini juga akan menampilkan pelbagai segmen menarik:
 
"Dalam persembahan nanti, kita ada segmen Pure Metal Cromok, segmen penghormatan kepada arwah Miji dan Din, segmen bersama Hillary, dan segmen Man Kidal. Kemudian, akan ada satu segmen di mana semua gitaris akan tampil bersama. Ini adalah cabaran teknikal, tetapi kami yakin ia boleh dilaksanakan dengan perancangan yang rapi."
 
Karl turut menyatakan bahawa bekerja dengan legenda seperti Hillary dan Man Kidal memberi banyak idea baru:
 
"Hillary ni memang hebat. Dalam sesi latihan, dia menambah elemen-elemen baru pada lagu. Lagu yang dalam album asal mungkin begini, tetapi apabila dimainkan secara langsung, ada sedikit perubahan susunan. Itu adalah nilai tambah daripada legenda seperti mereka. Kalau sama seperti album, baik dengar sahaja di CD atau Spotify, kan? Sebab itulah kami jemput legenda-legenda ini untuk memberikan nilai tambah pada keseluruhan persembahan."
 
Namun, Karl juga mengakui bahawa tekanan untuk memenuhi jangkaan peminat sangat tinggi:
 
"Tekanan memang ada, sampai tak tidur malam! Bila melibatkan pemuzik hebat seperti Man Kidal dan Hillary, peminat mesti mengharapkan sesuatu yang sempurna. Tapi insyaAllah, kami akan berikan yang terbaik. Lagipun, ini adalah tentang mencabar diri sendiri dan memastikan persembahan Cromok terus diingati."
 
Ketika ramai yang tertanya-tanya apakah maksud di sebalik tajuk The Real Cromok untuk konsert kali ini, ada yang mengaitkannya dengan isu perpecahan Cromok atau sebab-sebab lain. Apabila ditanya, Karl hanya mampu ketawa sebelum meneruskan ceritanya tentang kisah sebenar mengenai nama konsert ini.
 
"Inilah The Real Cromok.
 
"Ha ha ha, The Real Cromok ni, okey... inilah idea sebenarnya. Ramai yang bertanya, siapa yang main bahagian ini? Karl ke atau Man Kidal? Semua ini berdasarkan album ke? Siapa yang main bahagian tertentu dalam album? Jadi, nak jelaskan dengan mudah, kami mahu menjemput semua gitaris dan pemuzik yang pernah terlibat dan merakamkan lagu dalam album Cromok. Inilah pemuzik sebenar yang memainkan lagu-lagu dalam album kami. Maksud The Real Cromok ialah barisan pemuzik tulen, bukannya promosi cetak rompak, ha ha ha!
 
"Jadi, kalau nak tahu siapa yang main dalam album, dan bagaimana mereka bermain, konsert inilah tempatnya. Sebagai contoh, Man Kidal. Kami jemput beliau sebagai tetamu khas untuk memainkan solo dalam album Forever In Time untuk lagu Misery. Solo tengah lagu itu dimainkan oleh beliau. Tapi, ada juga orang yang menyangka Man Kidal main semua lagu dalam satu album. Tidak juga! Saya sendiri ingat saya main semua, tapi tak juga, ha ha. Masa tu, Man Kidal tengah merakamkan album King di studio sebelah. Kami ajak dia untuk main satu solo dalam album kami, dan alhamdulillah, dia bersetuju. Pada hari konsert nanti, dia akan mainkan solo itu secara langsung.
 
"Kemudian, dalam album Yours Truly, ada Khalid Mubin dari Rusty Blade yang turut menyumbang solo. Sebenarnya, kami jemput Khalid Mubin untuk konsert ini juga, tetapi beliau tak dapat hadir kerana menunaikan umrah pada 7 Disember nanti. Kalau tidak, dia pun akan turut serta. Khalid Mubin memainkan beberapa solo dan dia adalah idola kami, tetapi malangnya kali ini dia tak dapat hadir. Selepas itu, apabila saya keluar dari Cromok, Hillary menggantikan tempat saya.
 
"Hillary pula terlibat dalam empat album Cromok. Malah, semalam Hillary beritahu, dia hanya pernah buat tiga konsert bersama Cromok. Jadi, jarang sekali orang dapat melihat Hillary bermain dengan Cromok, apatah lagi bersama saya. Kalau dicampur dengan Man Kidal pula, ini adalah sesuatu yang mungkin takkan dapat diulangi lagi. Hampir mustahil! 30 tahun baru dapat buat perkara seperti ini.
 
The Real Cromok merujuk kepada pemuzik-pemuzik yang sebenarnya merakamkan lagu dalam album Cromok. Itulah yang di maksudkan.
 
Ketika ditanya tentang tempoh perancangan untuk menjayakan konsert ini, Karl sekali lagi membuka lembaran sejarah Cromok:
 
"Sebenarnya, perancangan ini telah lama dibuat, sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun. Ia bermula dengan perancangan besar. Saya meninggalkan Cromok sekitar tahun 1996, kemudian pada 2012 saya kembali untuk konsert Reunion. Sebelum 2012, sudah ada perancangan selama dua tahun untuk sampai ke Reunion. Selepas itu, kami memang ada perancangan jangka panjang, tetapi kekangan masa, penganjur yang sesuai, atau situasi tertentu membuatkan ia tertangguh.
 
"Kami memerlukan masa yang tepat untuk melaksanakannya. Kami mainkan beberapa persembahan kecil dahulu pada 2018, selepas itu kami beraksi di Maeps. Dari situ, barulah kami mula merancang secara serius. Jadi, perancangan ini sebenarnya bermula sekitar 2017 atau 2018, mengambil masa lima hingga enam tahun untuk direalisasikan. Kami tak boleh buat tiga hingga empat konsert setahun; nanti peminat jemu pula, ha ha ha!"
 
Karl juga berkongsi pandangan tentang kejayaan Cromok, mengaitkannya dengan masa dan tempat yang tepat:
 
"Saya rasa Cromok ini bernasib baik, berada di tempat yang betul pada masa yang betul. Contohnya, kami bermula di Australia, di mana kebanyakan band di sana bermain rock Barat dengan gaya Mat Salleh. Tapi kami bawa bunyi Melayu. Dari segi penampilan, kami juga lain – mereka berambut blonde, kami rambut hitam. Jadi, perbezaan itu menjadikan kami unik.
 
"Apabila kami pulang ke Malaysia, waktu itu industri muzik arus perdana masih berkembang. Alhamdulillah, kami terjumpa Ella Studio, dan mula berlatih di sanan dalam masa yang sama kami berada di bawah pengurusan Ella Production. Sebab itu kami berjaya tour bersama Ella pada 1992 dan 1993 ,Selepas itu Ella di bawah EMI. Selepas 1993, kami pula menandatangani kontrak dengan EMI. Semua ini berlaku kerana kami berada di tempat dan masa yang tepat. Itu adalah faktor utama yang membantu kami mengekalkan nama Cromok hingga kini."
 
Karl turut menekankan bahawa kejayaan Cromok bukan hanya tentang muzik, tetapi juga bagaimana mereka menjaga imej dan hubungan dengan peminat:
 
"Kalau kita lihat Cromok, semuanya tentang muzik. Kami tidak terkenal kerana rupa paras atau perkara lain. Cromok dikenali kerana muzik kami dan maskot unicorn kami. Selain itu, saya rasa Cromok tidak pernah terlibat dengan isu negatif. Anda boleh cari di mana-mana – saya rasa anda takkan jumpa kontroversi besar tentang kami. Kami sentiasa menjaga imej kami, bukan kerana berpura-pura, tetapi itulah diri kami yang sebenar. Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung atau tidak sesuai untuk media dan orang awam. Sebagai artis, itu adalah perkara yang penting untuk dijaga."
 
Tentang dinamika dalam kumpulan, Karl berkata:
 
"Seperti mana-mana kumpulan lain, pasti ada perbezaan pendapat atau hala tuju yang berbeza. Itu perkara biasa. Tapi bagaimana setiap kumpulan menguruskan perbezaan itu yang menentukan kelangsungan mereka. Bagi Cromok, kami bersyukur kerana peminat sentiasa menyokong kami, bukan sahaja sebagai pemuzik, tetapi juga sebagai ikon yang mereka jadikan inspirasi."
 
Karl turut berkongsi bagaimana mereka memulakan perjalanan muzik mereka:
 
"Sebelum saya menyertai Cromok, kumpulan ini telah ditubuhkan di Australia. Pada awalnya, mereka bermain muzik secara suka-suka di garaj. Selepas gitaris mereka keluar, mereka mencari pengganti dan bertanya kepada saya. Masa itu, saya sudah ada band sendiri. Jadi, saya tanya, kenapa saya perlu sertai Cromok? Jika hanya untuk suka-suka, saya tidak berminat. Tapi jika ada visi yang jelas, seperti menjadi nombor satu atau membuat jelajah dunia, barulah saya berminat. Akhirnya, kami bersetuju untuk menjadikan Cromok sebuah kumpulan yang serius, dan itulah sebab saya menyertai mereka. Kami mulakan dengan menghasilkan demo Image of Purity yang akhirnya menjadi album pertama kami."
 
Karl mengimbau kembali kejayaan awal Cromok:
 
"Kami tak sangka album Image of Purity terjual lebih 20,000 salinan di Malaysia, walaupun ia asalnya hanya demo di Australia. Bila kami lihat sambutan di Malaysia lebih besar, kami membuat keputusan untuk pulang dan mencuba nasib di sini. Itu adalah salah satu keputusan terbaik kami. Pada tahun 1992, kami pulang dan mencipta nama di Malaysia. Alhamdulillah, nasib menyebelahi kami, tetapi kejayaan itu juga memerlukan usaha yang besar."
 
Tentang sambutan peminat terhadap album mereka, Karl berkata:
 
"Alhamdulillah, apa sahaja yang kami keluarkan sentiasa mendapat sokongan. Saya ingat album Forever In Time sahaja terjual 400,000 salinan, dan jumlah keseluruhan album kami mungkin telah mencapai jutaan salinan. Kami sangat bersyukur atas sokongan ini, kerana muzik kami memberi impak kepada kehidupan peminat. Ramai yang berkongsi cerita bagaimana lagu Cromok menemani mereka ketika belajar, bekerja, atau melalui cabaran hidup. Cerita-cerita seperti ini memberi kami semangat untuk terus berkarya."
 
Karl juga menjelaskan apa yang peminat boleh harapkan dalam konsert The Real Cromok:
 
"Untuk mereka yang hadir nanti, mereka akan mengetahui sejarah penuh Cromok. Akan ada video playback, wawancara, dan pelbagai elemen lain. Ini adalah peluang yang jarang sekali berlaku – untuk melihat barisan pemuzik asal yang merakamkan lagu-lagu Cromok, semuanya dalam satu pentas. Ini adalah The Real Cromok."
 
Ketika ditanya sama ada Cromok masih berminat untuk mengeluarkan album, Karl menjawab:
 
"Album gambar banyak, ha ha, tapi lagu belum ada lagi. Alhamdulillah, terima kasih kepada StageMaker – ini studio kita hasil kerjasama dengan StageMaker, penganjur konsert ini. Sekarang, dengan adanya studio, kemungkinan untuk buat album itu ada... mungkinlah. Tengoklah, sebab semua kelengkapan dan peralatan sudah ada. Hanya masa sahaja yang diperlukan untuk menghasilkan lagu. Sebelum ini, dengan komitmen kerja masing-masing, memang agak sukar. Tambahan pula, kami tak ada studio sendiri.
 
"Sekarang, Sam dah bersara, tapi saya belum lagi. Namun, masa saya agak fleksibel sekarang. Jadi, kemungkinan itu ada, dan kemungkinan juga tak ada. InsyaAllah, kalau peminat mahukan, kami akan usahakan. Kami sedang memikirkan perkara ini.
 
"Namun, cabarannya adalah industri seni ni agak unik berbanding perniagaan lain. Sebagai contoh, bila kita nak buat sesuatu konsert, ramai yang kata, 'Ya, ya, saya nak konsert!' Tapi bila kita anjurkan konsert, tak semestinya hall penuh juga. Jadi Penganjur melibatkan risiko besar, bukan hanya untuk penganjur tetapi juga untuk artis. Begitu juga kalau kita nak buat album – ramai cakap nak, tapi akhirnya yang membeli mungkin hanya 10 orang, iaitu mereka yang kuat bersuara di media sosial, ha ha. Kalau macam tu, tiada gunanya juga. Jadi, kami perlu fikir masak-masak sebelum buat apa-apa."
 
Karl turut berkongsi kemungkinan menggunakan pendekatan baru jika mereka ingin menghasilkan album:
 
"Mungkin pada masa akan datang, jika kami buat album, kami akan gunakan crowd funding. Anda pledge atau janji nak beli, dan berdasarkan jumlah itu, kami akan buat album. Kalau cukup bilangannya, kita teruskan. Kalau tak, lebih baik kami buat benda lain atau tidur je."
 
 




TERBARU

The Real Cromok: Konsert yang Menghidupkan Jiwa dan Nostalgia

Paling Hangat, 3 Band Rock Dari 2 Negara Di 1 Pentas, ROXtheNATION

Ulangtahun 36 Tahun Cromok: Legenda Thrash Metal Malaysia Terus Menginspirasi

SHOWCASE EKSKLUSIF UK’s UP CLOSE AND PERSONAL DITUNDA KE TARIKH BAHARU

Malam Amal Legends di Sabah 11 Legenda dan Bintang Bergabung untuk Kutipan Dana Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia

Konsert The Real Cromok Menampilkan Hillary Ang dan Man Keedal di Pentas yang Sama

Malam Ikonik BCL Di Konsert Farmasi Soundzation Dihangatkan Dengan Penampilan Sulung Ghea Indrawari Dan Elly Mazlein 30 November Ini!

Cromok Hangatkan Festival Muzik, Soulfest 2024 Dengan Persembahan Secara Unplugged, Buat Julung Kalinya

Malam Intimasi Buat Para Pecinta: Julung Kali, Eksklusif dalam UK’s: Up Close and Personal

Nostalgia Blues Mengimbau Perjalanan Ikonik Blues Gang dalam Konsert Apo Nak Di Kato

Cherry On Top Membawa Rock Progresif ke Arus Perdana dengan Lagu Ketagih

Blues Gang Merayakan Lima Dekad dalam Konsert Solo Berprestij di Zepp KL

50 Tahun Blues Gang Bakal Membawa Semangat Blues & Rock di Konsert Apo Nak Dikato Di Zepp KL 9 Ogos

Kemuncak Konsert UK's dan SLAM Mengukir Kenangan Abadi di Stadium Malawati

Sweet Charity: Rock Dan Nostalgia di Konsert 'Semalam Di Malaya'

Bergabung dalam Nostalgia 'CONCERT UK’SLAM MUSICAL'

Melodi Gabungan UK's dan SLAM yang Menghadirkan Keunikan Musikal di STADIUM MALAWATI pada 3 FEBRUARI

UK’s dan Slam Bersatu Dalam Konsert Terbesar Di Stadium Malawati Pada 3 Feb 2024

Gema Nostalgia Bersama SWEET CHARITY Semalam Di Malaya Pada 26 Januari Di Zepp KL

Pelancaran Program Realiti TV Pentas Marhaban: Dakwah Melalui Seni Suara dalam Islam

KONSERT/TEATER/GIG

Kemuncak Konsert UK's dan SLAM Mengukir Kenangan Abadi di Stadium Malawati

Sweet Charity: Rock Dan Nostalgia di Konsert 'Semalam Di Malaya'

JAMAL ABDILLAH Dan M. NASIR Memaparkan Penghibur Sebenar

Persembahan Hebat Dalam The Best Of Joe

Persembahan Unik Oleh PITAHATI Di DPAC

Kumpulan NOAH Memukau Penonton Dengan Lagu-Lagu Hebat Ketika Zaman PETERPAN

Superstar ANGELA ZHANG Memukau Peminat

Konsert Kumpulan NOAH Di Bandung Di Hasilkan Dengan Gemilang

Semangat RAMLI SARIP Dalam Konsert Gala Pelarian

Lagu Terbaik Dan Persembahan Hebat Di Konsert 3 Suara

Konsert Cinta NADIRA ADNAN Mempesona Peminat

Konsert Ulangtahun Yang Penuh Kenangan Daripada SHEILA ON 7

Gema Wirama Wings Menerjah Padang B Plaza Angsana

Malam Kalimah Cinta Yang Persona Daripada OPICK

Lebih 2000 Peminat Banjiri Konsert "Retrofest Asia 2015"

Ritma SEARCH Menerawang Di Hard Rock Cafe Melaka

Pementasan Teater BAWANG PUTIH BAWANG MERAH Mengembalikan Ingatan Kisah Klasik

Hard Rock Cafe Melaka Bergegar Dengan Muzik Berat Underground SIL KHANNAZ dan BRAIN DEAD

"Konsert Wings 30 Tahun", Johor Bakal Di Jajah

Persembahan Hebat Konsert Kembara M. NASIR Yang Berakhir Di Stadium Malawati

WWW.RAWK.COM.MY

ME Portal is now known as RAWK Portal. Our objective still remains the same; to promote commercial, independant as well as underground music, from Rock to Metal genres; sans gossips.

With brand new looks, logo and more aspirational content for your entertainment pleasure. We appreciated your continuous support, and looking for more towards the future.

Our website can be accessed at www.meportal.net or www.rawk.com.my

MANAGEMENT

rawklogoo

mewahlogo

CONTACT

piko

avy

WEB DESIGN

Piko Fairuz [RAWK Entertainment]

PENAFIAN

Mewah Event Management (001754644-M) , RAWK Entertainment (002482799-A) dan juga para editor dilaman web ini meportal.net / rawk.com.my tidak bertanggungjawab dengan sebarang komen atau tulisan yang ditulis oleh para pengunjung dilaman web ini

HAK CIPTA TERPELIHARA

Lesen Creative Commons
karya ini dilesenkan di bawah Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons.