Industri muzik arus perdana Malaysia telah lama menantikan kehadiran sebuah band berbakat muda seperti Cherry On Top. Sejak pelancaran single mereka, *Ketagih*, kumpulan ini telah menarik perhatian ramai. Setelah setahun bergabung dan memperkemaskan penampilan mereka, enam anak muda yang berkongsi minat mendalam terhadap seni muzik tidak menjangka peluang besar yang menanti apabila Datuk Syafinaz Selamat sedia untuk berkolaborasi.
"Siapalah kami ini berbanding beliau, Datuk Syafinaz Selamat?" kata Kuzan, 22, atau nama sebenarnya, Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham, pemain keyboard, programmer, dan vokalis utama band yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini. Single *Ketagih* yang dimuatkan dalam EP sulung mereka adalah hasil ciptaan Kusham dengan lirik oleh Syafinaz Selamat. *Ketagih* telah menjadi pemangkin bagi band ini yang juga terdiri daripada Osama, 23 (gitaris); Ayen Tommy, 25 (pemain dram); Holy, 23 (penyanyi utama); serta adik-beradik Didi, 22 (gitaris) dan Bobo, 18 (pemain bass). Semua ahli kecuali Didi, yang mengikuti pengajian automotif di sebuah kolej tempatan, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Aswara. Bobo, yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia, juga akan memulakan pengajian asasi di Aswara.
Diterbitkan oleh Kusham, EP keluaran One Scream Studio ini mengandungi lima lagu: *Mengintai Rahsia*, *Menunggu*, *Resolusi*, dan *Ketagih* (Versi Panjang). Cherry On Top merupakan artis pertama One Scream Studio, yang diasaskan oleh Kusham dan Zaira Aziz. Kesediaan Syafinaz untuk berkolaborasi membawa makna yang besar, terutama bagi Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael. Holy terpaksa mencubit dirinya untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.
"Semasa kecil, saya amat mengagumi Datuk Syafinaz, terutama apabila beliau membuat ulasan dalam pertandingan nyanyian," kata Holy, yang berasal dari Papar, Sabah. "Saya selalu berangan-angan betapa seronoknya jika dapat berjumpa dengannya. Tetapi berpeluang menyanyi dan merakam lagu bersama? Saya hilang kata-kata. Kepercayaan ini adalah penghormatan terbesar buat band ini, dan kami semua bukannya siapa-siapa pun."
EP *Ketagih* dengan jelas memperlihatkan keupayaan luar biasa Cherry On Top sebagai pemuzik. Rock, menurut Kuzan, menjadi asas kepada personaliti band ini, dicampur dengan kecenderungan mereka terhadap genre seperti pop, fusion, dan Rhythm & Blues sebelum menemukan titik persamaan iaitu rock progresif.
Kuzan turut mengakui bagaimana band ini membawa makna baharu kepada pepatah "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi" kerana hampir kesemua ahlinya adalah penerus legasi keluarga dalam muzik. Kuzan sendiri mewarisi bakat daripada bapanya, Raja Sham, seorang Pengarah Muzik terkenal yang juga gitaris, komposer, penyusun, dan programmer muzik, serta Pemuzik Kanan Orkestra RTM. Ibunya, Zaira Aziz, adalah guru vokal yang sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan menghasilkan lirik lagu.
Osama pula telah mencipta nama sebagai penyanyi, pemain gitar, dan pelakon sejak diperkenalkan bapanya, penyanyi legenda Dato' Jamal Abdillah. Ayen diinspirasi oleh bapanya, Black, yang merupakan pemain dram band rock popular Wings. Studio muzik menjadi sekolah pertama Didi dan Bobo kerana penglibatan bapa mereka dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti DEF-GAB-C. Holy juga dibesarkan dalam keluarga yang bergelumang dengan muzik. Kombinasi pelbagai genre dan legasi ini menjadi amanah yang perlu digalas, jelas Kuzan lagi, yang membawa kepada nama Cherry On Top.
"Pada asalnya ditubuhkan dengan nama Rock Ages, nama itu dirasakan tidak begitu komersial untuk menembusi pasaran. Sedang mencari-cari nama yang sesuai dan sedap didengar, akhirnya kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kalangan kami, lelaki, melahirkan nama Cherry On Top," katanya.
Kuzan, yang cenderung kepada penulisan lagu dan membuat pengkhususan dalam penggubahan, menyedari bahawa kedudukan orang tua atau keluarga dalam seni tidak bermakna segala-galanya mudah. "Ada baik dan buruknya apabila ada orang tua terkenal," kata Kuzan, yang diakui oleh Ayen atau nama sebenarnya Muhammad Khairin Azmi, "Sebagai tarikan, ya. Tetapi jangkaan juga tinggi, sama ada anak-anak sehebat orang tuanya. Kena usahalah dan jadi sebaik mungkin."
Osama, anak sulung Jamal, mengakui bapanya membuka ruang kepadanya dalam seni. "Cuma setakat itulah, selebihnya kata ayah, pandai-pandailah. Ertinya, band ini berdiri bukan sebab aku anak siapa, kau anak siapa. Tetapi kerana sama minat dan perjuangan yang mempertemukan kami, dan kebetulan keluarga kami adalah somebody," kata pemilik nama sebenar Yamani Abdillah ini.
Didi, atau nama sebenarnya Muhammad Danish Danial, menjelaskan mengapa Cherry On Top tidak boleh diperkecilkan, berkata, "Kami akan memperdengarkan nafas baharu dari segi susunan muzik dan melodinya. *Ketagih* berbaloi untuk dihasilkan dan didengarkan."
Sehebat Bobo atau Muhammad Danish Ashraf yang telah memberikan sentuhannya dalam banyak rakaman lagu daripada penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ezad Lazim, dan Zamani Slam sejak usia 10 tahun, semua itu mengesahkan mengapa Cherry On Top bakal mencetuskan angin perubahan yang luar biasa. EP *Ketagih* kini boleh didengari di semua platform digital, selain dalam bentuk fizikal yang terhad dan akan dilancarkan kelak. Cherry On Top boleh diikuti di Facebook, Instagram menerusi cherryontop_band, dan One Scream Studio di Facebook serta TikTok untuk info terkini.